Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Calon muda , Azizul Annuar dan Dayang Noorazah jadi tumpuan

ByFirdaus Ismail

Oleh Daryll Law, Firdaus Ismail, Haris Zainuddin, Nur Shuhaida Muliyono, Febbright James, Zaid Alek

KUCHING, 3 Dis : Kelibat dua daripada 24 calon baharu yang disahkan akan membawa panji Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak iaitu Azizul Annuar Adenan dan Dayang Noorazah Awang Sohor menjadi tumpuan media hari ini.

Kelihatan sedikit kekok namun dua anak muda di bawah usia 35 tahun yang merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ini bersikap tenang ketika diserbu puluhan media dan cuba memberi jawapan sebaik mungkin.

Azizul Annuar, 31, yang akan turun mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu yang sangat dekat dengan keluarganya berkata, beliau bersedia untuk meneruskan khidmat di kawasan itu sekiranya menang pada 18 Disember ini.

Ujar anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem itu, beliau berasa ‘bertuah’ kerana mempunyai pasukan sokongan yang kukuh di Tanjung Datu termasuklah jentera GPS.

” Saya percaya dengan keupayaan pasukan jentera, kami akan merangka strategi yang bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima watikah sebagai calon bagi kerusi berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako di sini hari ini.

Mengulas mengenai tekanan yang mungkin dihadapi kerana bakal mempertahankan kerusi yang menjadi legasi keluarganya, Azizul Annuar mengakui hakikat berkenaan namun beliau akan mencuba sehabis baik dan akan selalu ingat pesanan Arwah ayahnya.

“Ayah pernah berkata, jika hendak buat sesuatu, mestilah bersungguh – sungguh dan itulah yang saya pegang,” katanya.

Pada PRN Ke -11, Adenan menang kerusi berkenaan dengan majoriti 5,892 dan dipertahankan pula oleh isterinya, Datuk Amar Jamilah Anu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2017 dengan majoriti 6,573 undian.

Bagi Dayang Noorazah Awang Sohor ,33, yang ditampilkan sebagai calon DUN Lingga pula, isu pendidikan merupakan antara yang dekat di hatinya.

Graduan bidang perakauan dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak ini berkata, beliau mahu melihat lebih ramai anak muda berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

” Selain itu, isu belia hilang pekerjaan disebab situasi pandemik ini juga antara yang saya mahu fokus. Bagaimana kita dapat rangka dasar untuk membantu mereka,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan