KUCHING, 2 Dis : Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Beliau menjelaskan walaupun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut, PRN Sarawak kali ini hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 Nov lepas.
Menurutnya daftar pemilih tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-11 pada 3 Nov, selaras Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Keputusan ini berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.
“Saya ingin memperjelaskan di sini bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini. Malah, Sarawak sememangnya sudah bersedia untuk menerima pengudi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Dis.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan berkuat kuasa pada 15 Dis ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Dis, pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis. -TVS