BETONG , 2 Dis : Sebelum ‘jenama’ Uncle Jang Kopitiam di Spaoh di sini ‘meletup’ dan menjadi tempat tumpuan pelanggan untuk menikmati makanan laut, sebenarnya pemiliknya pernah gagal banyak kali dalam perniagaan.
Hal ini didedahkan Ali Baba Narani , yang merupakan anak saudara kepada pengasas restoran ini, Zainuddin Sabang atau lebih dikenali sebagai Uncle Jang.
Kata Ali Baba, 63, bapa saudaranya itu sebelum ini pernah membuka kedai makan di Kuching tetapi perniagaanya tidak menjadi.
” Uncle Jang kemudian berpindah ke Semenanjung untuk meneruskan perniagaan namun sekali lagi dia berdepan kegagalan,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Ali Baba berkata, simpati dengan nasib kurang baik bapa saudaranya itu, dia menasihatkan supaya pulang membuka perniagaan di kampung halaman mereka.
” Pada mulanya, Uncle Jang kurang yakin malahan dia tidak bersetuju dengan cadangan saya. Sebenarnya di kampung kami tidak ada gerai makanan, jadi mungkin dia fikir susah untuk perniagaan berkembang,” katanya.
Cerita Ali Baba lagi , bapa saudaranya itu mempunyai kebolehan menyediakan makanan laut yang lazat manakala untuk hidangan barat pula, ia dibantu oleh isterinya.
” Pak cik juga mahir dengan masakan chinese style dan Jepun kerana belajar dan mempunyai pengalaman bekerja di bandar,” katanya.
Beroperasi sejak 10 tahun lalu, kini kedai berkenaan sering ‘diserbu’ pelanggan terutamanya kaum Cina yang datang dari Debak, Betong .
Nama Uncle Jang Kopitiam pula merupakan idea daripada Ali Baba yang gemar memanggil bapa saudaranya itu dengan panggilan ‘uncle’. -TVS