Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penyanyi Rapas kental hadapi ‘sepak terajang’ dunia perniagaan

SPAOH , 2 DIS : ‘Aku nyau enda dipeduli, aku nyau enda dikeibuh‘.

Menghayati bait – bait berkenaan yang terkandung dalam lagu berjudul Rapas dendangan Adens Kundang , ia seolah – olah membayangkan pelantunnya sedang merintih kecewa dan berputus asa dengan takdir hidupnya.

Bagaimanapun itu hanya sekadar dalam lagu kerana pada kehidupan sebenar, Adens atau nama sebenarnya Mahidin Kundang, 51, bukanlah seorang yang mudah mengibarkan bendera putih, lebih – lebih lagi dalam perihal perniagaan.

Menjalankan perniagaan kedai kopi Adens Cafe sejak 28 tahun lalu di Spaoh iaitu sebuah pekan kecil di Sarawak yang mempunyai sekitar 17,000 penduduk, Adens berkata, jatuh bangun dalam perniagaan merupakan lumrah namun ‘perjuangan’ harus diteruskan.

” Saya sebenarnya mewarisi perniagaan daripada ibu yang dikenali penduduk sekitar kerana keenakan Mi Jawa Rapas dan Mi Kolok Rapas malah dia merupakan orang pertama yang beniaga di gerai milik Majlis Daerah Spaoh,” katanya kepada TVS di sini hari ini.

Bercerita tentang ‘cabaran’ dunia perniagaan makana, Adens berkata, pandemik COVID-19 yang mula ‘menyerang’ Malaysia pada tahun lepas turut menjejaskan operasinya.

” Pemilik kedai makan terkesan apabila Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak tidak membenarkan pelanggan makan di kedai untuk mengurangkan penularan wabak. Di pihak saya, sudah pasti pendapatan terjejas,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dia berputus asa, perniagaan warisan sudah gulung tikar.

“Oleh itu, kita perlu kreatif dan menggunakan apa sahaja saluran untuk memastikan perniagaan bertahan. Saya seperti kebanyakan peniaga lain turut melakukan jualan secara dalam talian,” katanya.

Bagi Adens, untuk menjadi seorang peniaga harus mempunyai prinsip dan perlu bijak menangani masalah.

“Kita harus sentiasa bersedia dengan apa jua halangan yang akan mendatang, namun mesti ikhlas dan jujur supaya perniagaan dapat bertahan lama,” katanya.

Adens penyanyi di bawah label Kaban Music Production (KMP) pernah memenangi beberapa pertandingan menyanyi di sekitar kawasan ini dan masih aktif membuat persembahan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan