Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ikan bilis Lawas ‘terbang’ ke KL, rentas sempadan Brunei

BySalasiah Safian

LAWAS, 2 Dis: Menyedari perniagaan membekalkan ikan bilis masih kurang diceburi oleh usahawan Bumiputera, Latirosyadi Abdul Latip mencabar dirinya untuk meneroka bidang itu.

Latirosyadi, 35, berkata, sejak menjadi ‘taukeh’ ikan bilis pada 2017, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan nekad menjadikannya sebagai ‘karier tetap’ untuk menyara keluarganya.

“Sejak awal, saya menggunakan media sosial seperti Facebook untuk mempromosikan ikan bilis ini dan percubaan pertama membuahkan hasil,” katanya kepada TVS di sini hari ini.

Selepas beberapa tahun, anak jati Lawas ini mampu tersenyum apabila ikan bilisnya bukan sahaja ‘laku’ di Lawas malahan turut menjelajah ke seluruh Sarawak.

“Saya menerima banyak pesanan dari pembeli di Kuching, Miri, Bintulu Sibu, Serian dan Sri Aman,” katanya.

Gambar fail menunjukkan Latirosyadi menyerahkan ikan bilis keluarannya sebagai cenderahati kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada satu karnival usahawan.

Sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, ikan bilisnya turut terbang ke Semenanjung Malaysia apabila mula diminati pembeli di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya juga sempat mengeksport ke Brunei namun sekarang disebabkan sempadan antarabangsa masih ditutup, bekalan ke sana tidak dapat dihantar. Sekarang lebih banyak bertumpu di pasaran Sarawak sahaja,” katanya.

Ikan bilis yang dibekalkan oleh usahawan muda ini mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh Sarawak.

Ketika disapa TVS, anak muda ini sedang membereskan tempahan sebanyak 380 kilogram (kg) atau bersamaan 19 guni ikan bilis yang dipesan pelanggan di Kuching dan Miri.

Insiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini turut dimanfaatkan oleh Latirosyadi.

“Saya menerima bantuan berupa mesin ais daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk digunakan dalam operasi,” katanya.

Ujarnya, ketika ini dia sedang menunggu bantuan ketuhar daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

Ditanya di mana dia mendapatkan bekalan, Latirosyadi menjelaskan, bekalan ikan bilis berkenaan diperolehi daripada bapa saudaranya yang merupakan nelayan di kawasan itu.

Dia turut memberitahu, kepala ikan bilis yang biasanya dibuang sebenarnya turut boleh menjana pendapatan.

“Saya menjual kepala ikan bilis ini kepada pihak tertentu yang menjadikannya sebagai baja,” katanya. -TVS

Berita Berkaitan

No data was found
Tags: ikanbilis

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found