PULAU BRUIT , 2 Dis : Gabungan Parti Sarawak (GPS) semakin hampir untuk mengekalkan Datuk Abdullah Saidol sebagai calon mereka untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pulau Bruit di Daro di sini hari ini memberikan petanda berkenaan.
“InsyaAllah untuk kawasan Semop, saudara Abdullah akan terus menjadi calon kita di sini,” katanya.
Abdullah yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) menewaskan wakil PAN pada PRN Ke-11 dengan undian sebanyak 5,290 berbanding 878 oleh lawannya itu. -TVS