KUCHING, 2 Dis: Sebanyak 19 premis perniagaan dan 327 individu telah dikompaun sepanjang November lepas atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Operasi pematuhan SOP yang dilaksanakan pasukan Op Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah dilakukan di premis-premis, tempat awam dan kawasan pelancongan di sekitar bandar raya Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, kesemua individu terbabit dikompaun RM1,500 setiap seorang selepas didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis dan tidak memakai pelitup separuh muka di tempat awam.
“Manakala 19 orang pemilik premis perniagaan dikompaun RM10,000 atas kesalahan gagal memastikan pelanggan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatit maklumat mereka dalam buku pendaftaran.
“Selain itu, pemilik premis juga gagal memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis dalam satu-satu masa, gagal menyediakan buku daftar masuk ke premis, kod QR MySejahtera, pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman, membenarkan pekerja yang belum divaksin bekerja dalam premis dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya kompaun-kompuan tersebut dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 17(1) dan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. -TVS