BETONG, 1 Dis : Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak fasa satu sepanjang 786 kilometer (km) dari Telok Melano ke Miri telah memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini.
Antara yang mendapat manfaat daripada projek berkenaan ialah penduduk di daerah ini yang rata – rata mengakui berasa ‘lega’ kerana tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang lama jika ingin keluar kawasan.
Jarau Ak Sanggai berkata, pembinaan LPB di kawasannya telah membantu memudahkan penduduk terutamanya untuk mengakses Jalan Lidong.
” Sekarang kami di sini menerima kemudahan yang lebih baik berbanding dahulu. Lebih mudah untuk berulang antara Kuching dan Betong,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Ujar Jarau, sebelum ini , dia terpaksa menghabiskan masa selama empat jam untuk ke Sibu dari Betong dan selepas LPB mula dibuka, masa perjalanan dapat dipendekkan kepada dua jam 45 minit sahaja.
Manakala seorang lagi penduduk Betong, Ali Jalil yang telah menetap di kawasan ini selama lebih 50 tahun berkata, beliau berterima kasih dengan kerajaan negeri kerana telah melaksanakan projek LPB di situ.
” Pembinaan lebuh raya ini sangat membantu penduduk. Sebelum ini, jika hendak ke Kuching , masa perjalanan sangat lama mencecah empat jam namun sekarang hanya tiga jam,” katanya.
LPB pakej berkenaan sehingga kini telah mencapai kemajuan sebanyak 71 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.
Sebelum ini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi memastikan kelancaran projek mega itu, kementeriannya telah mengambil langkah proaktif dengan memantau projek itu secara berterusan menerusi lawatan berkala bersama kontraktor dan perunding terlibat. -TVS