Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Food Panda di Kapit beri peluang pekerjaan kepada belia

KAPIT, 1 Dis : Perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing), Food Panda yang baharu sahaja bertapak di daerah ini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia terutamanya kepada mereka yang baharu sahaja menamatkan pengajian.

Salah seorang anak muda yang menyahut cabaran menjadi ‘abang rider berbaju seragam pink dan kelabu’ ialah Alexius Ansi Unding yang teruja dengan ‘karier’ baharunya itu.

Menurut Alexius Ansi, menerusi penglibatan dalam gig ekonomi yang popular di seluruh dunia, dia berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada keluarga.

” Walaupun masih baharu tetapi saya menerima pesanan menghantar makanan yang sangat memberangsangkan. Dalam tempoh seminggu, hampir 30 pesanan perlu diselesaikan , bagi saya ini permulaan yang cukup baik,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Alexius Ansi merupakan antara golongan belia kawasan luar bandar di Sarawak yang mendapat manfaat susulan pelancaran Program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) yang dilancarkan kerajaan baru – baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan program berkenaan berkata, inisiatif berkenaan bertujuan untuk memacu pendigitalan di luar bandar.

Di negeri ini, perlaksanaannya lebih berfokus menerusi pelancaran Digitalisasi Luar Bandar Sarawak.

Berkongsi lanjut tentang pengalamannya, Alexius Ansi berkata, selain mendapat upah, dia juga gembira kerana pekerjaannya ketika ini turut memberi kemudahan kepada orang lain.

“Majoriti pelanggan saya terdiri daripada golongan bekerja yang tidak sempat untuk membeli barangan keperluan di pasar, individu kurang sihat serta warga emas yang tidak boleh memandu kenderaan,” katanya.

Katanya, kewujudan Food Panda di Kapit tepat pada masanya selain menunjukkan perkhidmatan berkenaan sememangnya diperlukan di kawasan ini berikutan situasi semasa.

Turut berkongsi pengalaman dengan TVS ialah Darrel Edmund yang menggunakan masa cutinya untuk mencari wang saku.

Ujar Darrel, dia juga dapat melakukan aktiviti berfaedah dan pada masa sama mencari pengalaman baharu.

Bagi Wong Sui Kiew pula, perkhidmatan Food Panda di Kapit menerima sambutan baik kerana orang ramai tidak perlu untuk selalu keluar membeli makanan di kedai atau restoran berdekatan.

“Sekarang kami boleh memesan makanan melalui telefon sahaja. Kadang-kadang kita masih takut untuk keluar membeli makanan di luar,”katanya.

Sementara itu, Ong Poh Jen memberitahu, perkhidmatan Food Panda di Kapit memudahkan golongan yang bekerja untuk memesan makanan serta menjimatkan masa.

“Makanan yang dipesan sangat cepat sampai dan ini membolehkan kami yang bekerja dapat makan mengikut masa yang telah ditetapkan majikan,” jelasnya.

Selain itu, Zamri Johari pula berpendapat bahawa Food Panda yang beroperasi di Kapit dapat mengurangkan situasi orang ramai bersesak di kedai atau restoran.

“Seperti yang kita tahu sekarang masih dalam tempoh pandemik dan sangat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP yang telah ditetapkan,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan