LUNDU, 1 Dis : Azizul Annuar Adenan menjelaskan beliau tidak mahu bersikap terlebih yakin sekiranya diberi tanggungjawab menjadi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi ‘bayangan’ bahawa beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar lebih selesa merendah diri.
Namun demikian, menurut anak bongsu bekas Ketua Menteri , Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem itu, aktiviti kemasyarakatan bukanlah perkara asingnya baginya kerana didedahkan dengan perkara itu sejak kecil lagi.
” Jika terpilih , saya akan teruskan kerana sejak menjadi Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 2018, saya telah berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Perasmian CENTEXS Lundu yang disempurnakan oleh Abang Johari di sini hari ini.
Abang Johari ketika berucap memberi bayangan yang amat jelas bahawa Azizul Annuar sebagai calon tepat untuk menggantikan penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu ibunya, Datu Amar Jamilah Anu yang memilih untuk bersara daripada politik.
Jelas Abang Johari lagi, pemilihan calon muda selari dengan hasrat parti malah beliau secara peribadi melihat Azizul Annuar sudah bersedia dan mempunyai potensi.
“Saya rasa dia sudah bersedia dan berbakat. Dia juga mempunyai karakter macam bapanya, suaranya sama macam bapanya,” katanya.
Sementara itu, Azizul Annuar percaya, beliau menerima sokongan padu ahli akar umbi parti.
” Saya mahu terus membawa pembangunan di sini (Lundu), Sematan hingga ke Teluk Melano untuk merealisasikan hasrat supaya bahagian ini menjadi hub pelancongan Sarawak,” katanya. -TVS