Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Parti politik digesa kemukakan agenda hijau dalam manifesto

GAMBAR ATAS: Kesejahteraan alam sekitar membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial. © Zora Chan / WWF-Malaysia

Kuching, 30 Nov : WWF-Malaysia menggesa semua parti politik dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak pada 18 Disember akan datang untuk memasukkan komitmen kepada alam sekitar ke dalam manifesto parti, dan mengetengahkan apa yang mereka ingin capai dalam tempoh 100 hari atau setahun selepas mereka andaikata berjaya membentuk kerajaan baharu.  

Menurut badan bukan kerajaan (NGO) itu, komitmen ini penting kerana kesejahteraan alam sekitar membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial.

Dalam sepucuk surat terbuka baru-baru ini kepada semua parti di Sarawak, Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Henry Chan menyeru kepada calon yang akan menjadi penggubal undang-undang nanti agar mereka komited sepenuhnya kepada usaha bagi memastikan alam semula jadi sentiasa sihat dan alam sekitar sentiasa dipulihara bagi rakyat di Sarawak.

Beliau berkata ia adalah penting bagi parti politik untuk memaklumkan aspirasi dan rancangan mereka bagi pembangunan mampan kepada pengundi.

“Ini akan membolehkan pengundi untuk memilih wakil mereka dengan baik dan dapat melindungi alam sekitar dan kesamarataan dalam kalangan semua lapisan masyarakat,” katanya.

“Pada waktu Sarawak memasuki era pemulihan pasca pandemik COVID-19, ia adalah penting untuk mengingatkan diri kita, para pemimpin kerajaan serta penggubal undang-undang, yang merangka hala tuju masa depan negeri, agar mengelak bencana alam yang disebabkan oleh kebodohan manusia selain mengenali nilai-nilai alam semula jadi yang kaya dan sudah dimiliki Sarawak.”

Dasar yang baik dan perancangan harus dilaksanakan dengan berkesan berdasarkan kemampanan alam sekitar, seperti yang diperuntukkan di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Tahun 2030 yang dirangka oleh Sarawak. @ Diana Chendai WWF-Malaysia

Dr Chan menambah, dasar yang baik dan perancangan harus dilaksanakan dengan berkesan berdasarkan kemampanan alam sekitar, seperti yang diperuntukkan di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Tahun 2030 yang dirangka oleh Sarawak.

Dasar baik yang sedia ada dan pelan tindakan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) harus diteruskan dan diperkukuhkan lagi dengan mengguna-pakai Pelan Pemulihan Hijau.

SDG dirangka pada 2015 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membina masa depan yang lebih baik dan lebih mampan bagi semua manusia dan dunia menjelang tahun 2030.

“Ini akan mempertingkatkan lagi aktiviti yang menyokong pemuliharaan dan pengurusan mampan bagi hutan yang masih ada di Sarawak untuk mengiktiraf khidmat ekosistem kepada manusia dan hidupan liar, dan bagi kesejahteraan ekonomi,” kata Dr Chan.

Ia juga akan memacu pembangunan tenaga kerja hijau yang inovatif serta pelaburan yang menyokong ekonomi yang tahan iklim dan rendah karbon selain mempertingkatkan lagi usaha ke arah kehilangan sifar hidupan liar dan biodiversiti disebabkan oleh pemburuan dan perdagangan haram.

Menurut Dr Chan, belia dan pemain bukan kerajaan, sebagai rakan-rakan sama rata dalam pembentukan sesebuah negeri yang demokratik, merupakan pemacu penting dalam usaha memajukan SDG, selain pelan pasca COVID-19.

“Kami menyeru kepada penggubal undang-undang pada masa depan untuk memberikan jaminan dan menyediakan mereka (belia dan NGO) dengan peluang sama rata untuk mengambil bahagian dalam usaha membina negara bangsa dan bersuara, selain menyediakan saluran bagi mereka untuk mempromosikan pembabitan mereka dalam usaha memperjuangkan kemampanan alam sekitar,” katanya lagi.

Akses kepada maklumat serta saluran yang baik harus disediakan untuk membolehkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF-Malaysia berhubung dengan penyedia sumber dan pembuat keputusan agar sama-sama membina Sarawak yang lebih hijau dan mampan.

WWF-Malaysia merupakan sebuah NGO alam sekitar yang berkecuali dan sudah beroperasi di negara ini sejak tahun 1972, dengan pasukan yang berdedikasi di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk memajukan agenda pemuliharaan bagi negara. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan