KAPIT, 28 Nov : Program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) yang dilaksanakan di Kapit bakal menjadikan daerah ini sebagai pelopor Digitalisasi Luar Bandar di Sarawak.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan untuk memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi pelaksanaan Program ReDI ini juga, Kementerian mensasarkan 100 peniaga di setiap PBT akan menyertai Program ReDI menjelang akhir 2022.
“Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kementerian yakin sasaran 15 200 peniaga dalam kategori ini di seluruh negara dapat menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna akan dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program ReDI Sarawak di Kapit Town Square di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan wakil penyedia e-wallet.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, sejak penganjuran program ReDI di Kapit bermula pada 17 November lalu, sebanyak 422 peniaga di sini sudah mendaftarkan perniagaan mereka bersama penyedia e-wallet.
“Sehingga 27 November lalu, kita dapat lihat peningkatan 24 peratus dari 1,734 peniaga berdaftar di daerah ini.
“Di Pasar Teresang sahaja, seramai 27 daripada 93 peniaga di sini sudah mendaftarkan perniagaan mereka dengan penyedia e-wallet. Ini sangat memberangsangkan dan kita jangka jumlah ini akan terus meningkat,” katanya.
Alexander berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30 peratus iaitu bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lepas.
Berdasarkan rekod Bank Negara (BNM) pula, penggunaan e-wallet juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM600 juta pada 2020, berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatat sebanyak RM300 juta.
“Peningkatan ini amat signifikan dan memperlihatkan kadar penerimaan penggunaan transaksi tanpa tunai di negara kita. Dalam konteks ini, KPDNHEP telah menggerakkan susun kerja dalam memastikan agenda digitalisasi menjadi objektif utama sektor peruncitan dengan tumpuan utama Kementerian adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil menerima serta mengguna pakai e-wallet,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, pendekatan cashless ini juga merupakan wadah utama kerana ia memberi manfaat kepada PKS dan mikro tambahan pula dengan situasi pandemik pada masa ini.
“Oleh itu, pelaksanaan ReDI di Kapit hari ini sangat penting kerana ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan,” katanya lagi.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 sektor peruncitan.
Sementara itu, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI di Kapit, Alexander berkata, kementerian menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan satu program sumbangan sebanyak RM50 secara tanpa tunai kepada 400 belia di Kapit yang boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet terpilih.
“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi galakan kepada mereka supaya tidak ketinggalan mengikuti arus perkembangan teknologi semasa,” tambahnya.
Pada majlis sama, Alexander turut mengumumkan sumbangan pelbagai syarikat penyedia e-wallet bagi membantu peniaga di Daerah Kapit dan Negeri Sarawak amnya.
Antara sumbangan itu termasuk 20 kereta sorong (pushcart) oleh Shopee kepada peniaga yang dikenalpasti di Sarawak, pulangan tunai (cashback) sebanyak RM3 bagi setiap pembelian bernilai RM15 ke atas dan penyediaan sesi latihan ‘Shopee University’ bagi membantu usahawan dan peniaga di Daerah Kapit memulakan peniaga secara dalam talian.
Selain itu turut diberikan, sumbangan RM200,000 oleh syarikat Grab untuk membantu menyediakan telefon pintar dan insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menerima pembayaran tanpa tunai dan juga promosi GrabPay khusus untuk menggalakkan pengguna membeli-belah dan menyokong PKS di negeri ini.
Selain itu, Alexander turut mengumumkan pembukaan cawangan pertama syarikat minuman Tealive di Kapit dalam masa terdekat yang bakal mewujudkan persaingan sihat dan peluang pekerjaan kepada belia di daerah ini. – TVS