Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

KPDNHEP selesai hampir 99 peratus aduan pengguna seluruh negara

KAPIT, 28 Nov : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berjaya menyelesaikan 98.2 peratus daripada 23,006 aduan yang diterima daripada pengguna di seluruh negara sehingga 31 Oktober lepas.

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kadar penyelesaian yang tinggi itu jelas menunjukkan pihak kementerian sangat proaktif dalam menyelesaikan pelbagai aduan pengguna.

“Aduan-aduan tersebut diterima dari saluran-saluran aduan yang disediakan oleh kementerian dan yang selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia Bersama KPDNHEP di Kapit Town Square malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Roziah Abudin.

Karnival Advokasi tersebut dianjurkan oleh KPDNHEP dan Pejabat Daerah Kapit dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan juga Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Sementara itu beliau memberitahu, aduan dari kawasan pedalaman seperti Kapit juga tidak dipandang ringan.

“Sebanyak 14 aduan telah direkodkan di Kapit yang merangkumi lapan aduan harga, satu aduan barang kawalan, dua aduan perkhidmatan mengelirukan, satu aduan kenderaan bermotor dan dua aduan transaksi di dalam talian.

“Trend ini dijangka akan menunjukkan perubahan seiring dengan advokasi kita pada kali ini,” katanya.

Pada masa sama, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit percaya, pejabat PDNHEP cawangan berkenaan juga mampu menangani segala isu berkaitan kepenggunaan kerana memliki pegawai-pegawai yang telah menerima latihan.

Berhubung karnival berkenaan, Alexander menyifatkan ia telah memberikan impak yang positif kepada warga Kapit, bukan sahaja dari sudut aktiviti ekonomi malahan dengan pengisian informasi kepenggunaan melalui ceramah yang berkesan sepanjang karnival tersebut.

“Saya juga kagum apabila ceramah hak-hak pengguna, e-sport mobile legends dan ipexplorace mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan belia di Kapit dan juga Sibu,” katanya,

Katanya, program advokasi tersebut juga diharapkan boleh melahirkan pengguna berdayaupaya, tahu akan hak-hak mereka sebagai pengguna, celik akan undang-undang perniagaan dan akhirnya bijak berbelanja. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan