KUCHING, 27 Nov : Di sebalik penularan COVID-19 sejak hampir dua tahun lepas, Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (KJMDBKU) masih mampu menganjurkan 151 program yang dirancang sepanjang tahun ini.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara ) , Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan peningkatkan sebanyak 51 peratus berbanding tahun lepas.
” Peningkatan ini membuktikan KJM DBKU sememangnya terus bergerak aktif dengan adanya ahli masyarakat yang sentiasa berganding bahu dalam merealisasikan setiap aktiviti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam KJM DBKU yang diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam tadi.
Yang turut hadir, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara , Datu Junaidi Reduan.
Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pada tahun ini sebanyak 297 program telah dirancang oleh JKM berkenaan.
” Sepanjang 20 tahun ditubuhkan, KJM DBKU telah mengalami banyak transformasi selaras perkembangan semasa,”ujarnya.
Menurutnya, beberapa pembaharuan juga diperkenalkan seperti perlantikan pegawai kawasan KJM, bengkel pemerkasaan, aktiviti gabungan dan pembangunan polisi.
Sementara itu, Dr. Abdul Rahman memberitahu, DBKU turut cemerlang tahun ini dengan mendapat pengiktirafan seperti muncul juara kategori Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) bagi The Chief Minister’s Environmental Award (CMEA) 2019/2020 .
Anugerah kedua yang dimenangi DBKU melibatkan World Health Organization Regional Director’s Award bagi kategori Commitment to Physical Fitness Through Effective Partnership melalui penyertaan DBKU bertajuk Friendly Neighbourhood (KJM – Kejiranan Mesra) Physical Activity Programs. -TVS