BELAGA, 28 Nov : Gabungan Parti Sarawak (GPS) memutuskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dikekalkan untuk bertanding di kawasan itu.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini bermaksud GPS menyandarkan harapan kepada Kennedy Chukpai sebagai ‘manuk sabung’ (ayam sabung) gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak ini.
” Oleh itu, saya mengharapkan supaya kita dapat memberi sokongan kepada beliau untuk terus mewakili DUN Murum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari mendedahkan, terdapat 10 projek pembangunan yang diminta oleh Kennedy Chukpai di kawasan berkenaan.
” Saya mahu luluskan semua permohonan itu kerana ia projek kesejahteraan rakyat tetapi buat masa ini saya tidak dapat luluskan kerana tiada mandat. Oleh itu saya dan GPS memerlukan sokongan untuk membawa lebih banyak pembangunan di sini ,” katanya.
Pada PRN Ke -11, Kennedy Chukpai menang kerusi berkenaan dalam pertandingan empat penjuru dengan menewaskan wakil PKR, DAP dan calon Bebas.
Beliau mendapat undi keseluruhan 3,265 sekaligus turut mencatat majoriti 2,200 berbanding undi sebanyak 1,065 kepada Abun Sui (PKR), 1,029 (Bebas) dan 687 oleh Mathew Silek (DAP). -TVS