KUCHING, 27 NOV: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa belia Sarawak meningkatkan kualiti diri dalam membangunkan negara agar dapat menjadi pelapis pemimpin yang sedia ada.
Beliau bagaimanapun mempunyai keyakinan terhadap golongan belia negeri yang dapat dibentuk dan diasuh untuk menjadi belia berwawasan dan mempunyai jati diri.
“Kalau nak lihat masa depan negeri, lihatlah belia pada hari ini.
“Jika kualiti belia itu bagus, maka majulah masa depan negeri atau negara itu nanti,” katanya ketika berucap pada Program Jalajah Belia Satok pada Sabtu.
“Sebab itu saya melancarkan dasar digital ekonomi. Dan saya tahu belia sekarang boleh diasuh dan diberi latihan ke arah tahap yang sedemikian kerana saya yakin kita boleh sekiranya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang cukup,” katanya lagi.
“Bagaimanapun, untuk memajukan diri, belia mesti ada jati diri dan juga mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup,” katanya lagi.
Jelajah belia yang Ke-19 dan diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan Sarawak bagi memberi penekanan dalam aspek kepimpinan, kesukarelawan, berkerjaya, kecergasan, perpaduan dan memberi fokus utama terhadap aspirasi belia Sarawak.
Bermula dari tahun 2019, sebanyak 18 siri daripada 40 siri telah diadakan di seluruh Sarawak yang melibatkan 18,700 belia serta berjaya mengumpul sejumlah 155 aspirasi para belia di negeri ini.
Setakat ini, golongan belia Sarawak merangkumi 43.5 peratus atau 1,249,000 juta orang daripada keseluruhan 2.8 juta penduduk negeri Sarawak. -TVS