KUCHING, NOV 27: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini sempat meluangkan masa melawat mangsa-mangsa kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung No. 6, Satok di sini.
Beliau turut menghulurkan bantuan kewangan selain membantu menguruskan pembinaan semula kediaman tersebut.
“Kita akan menghubungkan mangsa dengan kontraktor untuk mengkaji cara membina semula rumah tersebut dari keadaan sekarang.
“Mungkin rumah tersebut tidak akan dapat dibina semula mengikut rekabentuk atau keadaan asal tapi hal tersebut biarlah dibincang antara kontraktor dan keluarga terbabit,” kata Abang Johari yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.
Kebakaran yang berlaku pagi semalam telah memusnahkan kediaman milik pengusaha cucur Satok terkenal. Seorang bayi berusia dua minggu dan warga emas telah terselamat dalam insiden tersebut.
Keluarga tersebut kini terpaksa menumpang di rumah jiran mereka buat sementara waktu. -TVS