Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
UTS di Sibu, Sarawak merupakan antara IPTA yang menawarkan pelbagai program pengajian untuk lahirkan tenaga kerja profesional. Foto fail: Bernama.

Seni bina UTS Sibu memukau dan gamit perhatian ramai

SIBU, 25 Nov: Sesiapa sahaja yang pertama kali menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pasti terpegun dan terpukau melihat kecantikan dan keunikan seni bina serta landskap universiti itu yang menggamit perhatian dengan konsep moden dan futuristik namun mengekalkan kehijauan.

Antara yang menarik perhatian adalah struktur ‘oculus’ di beberapa bangunan utama kampus UTS yang menjadikan reka bentuknya lebih unik dan cantik, selain struktur kanopi hutan hujan yang membolehkan cahaya menyinari ratusan pokok dan tumbuhan yang ada di situ.

Sistem Penuaian Air Hujan yang terletak di tengah-tengah bangunan universiti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak itu pula membolehkan air hujan digunakan semula bagi tujuan pembersihan dan siraman tumbuhan.

Turut mencuri tumpuan adalah kolam bulat yang jelas kelihatan sebaik sahaja memasuki pintu gerbang utama UTS, dengan corak yang seakan-akan memaparkan lokasi Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia, menjadikannya lokasi pilihan bagi sesi penggambaran perkahwinan.

Tidak hairanlah universiti yang ditubuhkan pada 1 April 2013 dan dahulu dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) itu menjadi universiti pertama di Malaysia yang mendapat Anugerah Platinum Green Building Index (GBI).

Naib Canselor UTS Prof. Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata pembinaan universiti itu adalah idea Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Canselor UTS, ketika beliau masih menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Beliau mahukan acuan tersendiri apabila melihat Sibu memerlukan sebuah universiti namun mestilah dengan reka bentuk hebat.

Univerisiti Teknologi Sarawak (UTS) merupakan sebuah universiti yang terletak di bandar Sibu, adalah satu-satunya universiti dengan 100 peratus ditubuhkan hasil titik peluh’ Kerajaan Sarawak dengan senibina yang moden dan futuristik.

“Sebab Sibu bandar kecil dan tidak terkenal, kalau bina sebuah universiti biasa-biasa, tidak ada tarikan jadi beliau (Tun Abdul Taib) telah mencetuskan satu buah fikiran yang mana ia mestilah berbentuk futuristik, moden dan kontemporari.

“Ini supaya kampus itu menarik minat orang, tapi dalam masa sama mesti membawa elemen hijau, persekitaran semula jadi, supaya kita dapat mempertahankan konsep hutan hujan di sekitar kawasan pertengahan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata antara ciri lain UTS yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini termasuk panel kaca dua lapis agar suhu di dalam bangunan tidak terlalu panas, selain penjanaan tenaga solar serta sistem pencahayaan lampu diod pancaran cahaya (LED) berkonsepkan penderia gerakan sekali gus menjimatkan penggunaan tenaga.

Jelasnya, fasa pertama pembinaan universiti itu disiapkan pada 2013 dengan kos hampir RM1 bilion, meliputi pembinaan kampus utama manakala fasa kedua siap pada 2019 dengan kos RM250 juta meliputi pembinaan surau, kompleks letak kereta dan dua blok asrama pelajar.

UTS, yang menawarkan kursus dalam bidang teknologi dan teknikal bagi keperluan industri, ketika ini mempunyai kira-kira 1,000 lebih penuntut. Ia menyasarkan pengambilan 4,000 penuntut dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebelum ini, Khairuddin berkata UTS turut dinamakan antara tujuh kampus tercantik di Malaysia oleh majalah terkenal Tatler Malaysia, malah ia turut menarik minat pengguna media sosial yang kagum dengan keindahan landskap universiti itu. – Bernama

Univerisiti Teknologi Sarawak (UTS)
Tags: #bm, sibu, UTS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan