KUCHING, 23 Nov : Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memuktamadkan 79 calonnya yang akan turun bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, baki calon bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula setakat ini berada di akhir penelitian dan beliau yakin kata putus akan dicapai dalam masa terdekat.
” Kita (GPS) letak calon di 82 kerusi, 79 calon sudah selesai dikenal pasti. Bagi saya itu satu perkembangan yang baik, tidak ada masalah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Stesen Pelbagai Bahan Bakar Kedua milik Petros di MJC Batu Kawah di sini hari ini.
Abang Johari berkata demikian sebagai mengulas khabar angin mengatakan GPS belum mengenal pasti calon di tiga kerusi.
Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, perkara berkenaan merupakan proses biasa dan tidak perlu tergesa -gesa memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga masih belum menetapkan tarikh penamaan calon.
“ Sampai masanya kami akan maklumkan calon,” katanya.
Ujar beliau, GPS melakuan saringan menyeluruh termasuk meneliti personaliti calon bagi memastikan mereka dapat menampilkan calon terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.
Sebelum ini, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, gabungan berkenaan turut menyerahkan senarai nama bakal calon kepada Jabatan Insolvensi Malaysia , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses tapisan. – TVS