KOTA SAMARAHAN, 23 Nov: Sebanyak 64 saman berkaitan pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, operasi berkenaan telah melakukan pemeriksaan terhadap 247 buah kenderaan dan 338 individu.
Katanya, operasi tersebut telah menggunakan konsep Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan laluan masuk Kota Samarahan.
“Sebanyak tujuh pasukan rondaan berkereta ditubuhkan dan telah menjalankan pemeriksaan mengejut di laluan masuk ke taman perumahan, kampung dan rumah kedai,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sudirman berkata, operasi selama dua hari itu melibatkan lima pegawai kanan polis serta 25 orang anggota pelbagai cawangan di IPD berkenaan.
” Bagi melancarkan operasi, IPD Kota Samarahan juga telah mewujudkan pasukan serbuan dan pemeriksaan untuk memantau dan menjalankan risikan ke atas aktiviti judi, gangsterism serta kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, dalam satu serbuan di premis judi tidak berlesan, dua individu ditahan dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM137 serta satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti judi.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
” Dalam satu serbuan lagi, polis turut berjaya menangkap seorang lelaki yang didapati terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah. Tangkapan ini dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -TVS