KUCHING, 23 Nov : Penyanyi kelahiran Miri, Sarawak, Zee Avi yang popular menerusi lagu Kantoi sah bergelar isteri kepada jejaka berketurunan Jepun, Kenji Matano.
Zee Avi, 36, yang telah melebarkan sayap seninya ke Amerika Syarikat pada 2005 berkongsi perihal tersebut melalui akaun Instagram miliknya yang dimuatnaiknya semalam.
Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman memuatnaik video yang menunjukkan dirinya berbusana baju kurung moden putih lengkap berselendang dan mengenakan inai di jari sambil berkata “Today’s the day!”
Menerusi perkongsian itu, turut disertakan kapsyen mengenai pernikahan mereka manakala Kenji juga kelihatan segak berbaju Melayu putih lengkap bersamping dan bersongkok.
Difahamkan, majlis pernikahan telah dilangsungkan secara sederhana di sebuah surau di Ampang, Selangor.
Komposer itu memaklumkan kepada media bahawa butiran lanjut mengenai hari bahagianya akan dikongsi menerusi sidang akhbar khas dalam masa terdekat.
Zee Avi merupakan penyanyi wanita Malaysia pertama yang membolosi carta Billboard Hot 200 Albums dan Billboard (Heatseekers Album) dan melebarkan pengaruh muzik serta lagunya di New York dan Los Angeles sejak 16 tahun lalu. -TVS