KUCHING, 20 Nov: Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2.0 membuka tirainya malam ini dengan penuh warna-warni biarpun dianjurkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Pelbagai persembahan disajikan seperti tarian tradisional suku kaum di Sarawak, nyanyian serta alunan muzik tradisional dan moden.
Persembahan bukan hanya dari dalam negara bahkan turut mendapat penyertaan dari luar negara seperti Krishna Group dari India, Bisayaw (Filipina), Nuschoir (Singapura) dan The Bolshoi Ballet Company yang diterbangkan dari Rusia.
Turut memeriahkan persembahan ialah Suc Song Moi Bamboo Ensemble dari Vietnam manakala Taiwan Bamboo Orchestra mewakili Taiwan.
Manakala persembahan tempatan pula adalah daripada kumpulan Karya Terindah Performing Arts, Kenwy Music & Arts Academy, La Danse Studio, Russell & Randell Dance Company, Sarawak State Symphony Orchestra (SONS), Zephyr, Dolce Chanticleer, Wushu Association, IMH Ethnica Orchestra, Layna Ballet Academy, Kampung Budaya Sarawak dan Dua Space Dance Theatre.
SIFMA 2.0 dianjurkan secara hibrid di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada hari ini dan berakhir esok (21 November).
Persembahan dimulakan dengan tarian solo ‘burung kenyalang’ bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat iaitu Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang ditemani isteri , Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri.
SIFMA 2.0 yang akan melabuhkan tirainya pada Ahad dapat ditonton secara maya menerusi laman sesawang www.sifma.com.my dan mereka yang berminat boleh mendaftar segera.
Selain itu, ia juga boleh ditonton di beberapa lokasi seperti di The Junk Mini Bazaar, Megalanes Adventure World, La Promenade Mall, Aeon Mall Kuching Central, Plaza Merdeka, The Waterfront Hotel, Biddy’s Cafe, Commons at Old Courthouse, UCSI Hotel, Grand Margherita Hotel, Damai Beach Resort, Grandma Bak Kut Teh, Outright Coffee Sibu, Coco Cabana Miri dan Hotel Eastin Kuala Lumpur. -TVS