JULAU, 20 Nov : Penduduk Nanga Lasi di sini bakal menikmati jambatan baharu bagi menggantikan jambatan gantung lama yang sudah usang.
Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata , jambatan baharu itu kelak akan memberikan kemudahkan kepada penduduk sekitar terutamanya akses kepada penggunaan kenderaan.
Menurut Abang Johari , kerajaan negeri meluluskan pembinaan jambatan baharu memandangkan jambatan kayu sedia tidak boleh dilalui oleh kenderaan berenjin sekaligus menyukarkan pergerakan penduduk.
“Projek jambatan dibina dengan kos RM5 juta dan selepas siap kelak, ia akan dapat memudahkan pergerakan penduduk di beberapa rumah panjang yang terdapat di sekitar kawasan ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Nanga Lasi , di Julau, Sarikei hari ini.
Ketua Menteri turut memberitahu, projek berkenaan dijangka akan memanfaatkan kira-kira 2, 250 penduduk di situ.
Pembinaannya dijangka bermula pada Januari 2022 yang dijangka mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.
Skop utama projek ini melibatkan pembinaan jambatan keluli satu lorong dengan panjang 100 meter selain pembinaan jalan tuju kira-kira 260 meter. -TVS