JULAU, 20 Nov : Kerajaan Sarawak telah menyiapkan kertas kerja untuk mewujudkan Dana Kewangan Berdaulat negeri seperti dilaksanakan oleh beberapa negara maju sebelum ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan berkenaan adalah sebagai jaminan dan ‘simpanan’ masa depan untuk generasi muda di negeri ini.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri memerlukan perkara berkenaan dibentangkan dan mendapat kelulusan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
” Perancangan untuk melaksanakannya ialah dalam masa lima tahun akan datang dan sebenarnya saya sudah mempunyai kertas kerja yang disediakan oleh pakar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Jajaran Seksyen Julau di Stadium William Mawan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pembinaan jajaran berkenaan sepanjang 28.5 kilometer (KM) dengan kos sebanyak RM537.4 juta siap sepenuhnya dan diyakini akan menjadi asas baharu kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pihaknya ‘memerlukan’ mandat rakyat negara ini untuk melaksanakan perancangan berkenaan.
” Sekiranya perancangan ini menjadi kenyataan, Sarawak akan mempunyai jaminan yang baik pada masa hadapan,” katanya.
Beberapa negara termasuk Singapura mempunyai dana sama menerusi Temasek Holdings manakala Norway melaksanakan langkah berkenaan menerusi Dana Pencen Kerajaan Norway. -TVS