SERIAN, 20 Nov : Akibat ketandusan idea, pembangkang ketika ini hanya mampu mengulangi isu Undi 18.
Timbalan Ketua Menteri , Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tuduhan pembangkang terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kononnya gentar kepada golongan belia adalah tidak berasas.
” Bagi kita (GPS) , belia adalah harapan pada masa hadapan. Kita yang mengusulkan bahawa umur 18 tahun sudah boleh bertanding dan mengundi. Bukannya pembangkang. Apa yang dikatakan oleh pembangkang tidak masuk akal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (Agricop) dan pecah Tanah Inkubator Pemprosesan kopi dan kerepek di Teng Bukap, di sini hari ini.
Sementara itu, Douglas Uggah menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak wajar diadakan dalam masa terdekat setelah mengambil kira bilangan kes harian COVID-19 yang semakin menurun.
Katanya, kes baharu COVID-19 di Sarawak adalah yang yang terendah dan begitu juga dengan nilai R-naught jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.
“Seperti yang kita tahu, memang pilihan raya akan diadakan,” katanya. -TVS