MIRI, 20 Nov : Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Niah terpaksa menggunakan sampan yang dipinjam dalam usaha memadam kebakaran di Rumah Panjang Sulang, Sungai Tajan pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Sarawak, ketika kejadian pada 11.47 pagi tadi, beberapa anggota balai berkenaan secara kebetulan berada di Dewan Sepupok tidak jauh dari situ kerana sedang membuat persiapan untuk Program Komuniti Bomba.
” Mereka kemudian bergegas ke tempat kejadian dan meminjam sampan penduduk kampung untuk sampai ke lokasi kebakaran yang mengambil masa 40 minit,” jelas kenyataan itu.
Setibanya di kawasan kebakaran, anggota Bomba terus membentangkan hos dua nozel sepanjang 200 kaki menggunakan pam angkut untuk mendapatkan air dari sungai.
Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan kesemua 15 orang penghuni rumah tersebut tiada di rumah ketika kebakaran namun sebuah kereta milik penghuni musnah sepenuhnya.
Api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh sejam. -TVS