KUCHING, 19 Nov : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menyerahkan senarai bakal calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak kepada pihak berkuasa untuk proses tapisan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah berkenaan dilaksanakan sebagai komitmen untuk memastikan kredibiliti dan integriti semua calon yang akan ditampilkan dalam PRN Ke-12.
” Senarai berkenaan telah dihantar kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses tapisan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi PBB di ibu pejabatnya di Jalan Bako di sini malam tadi.
Mesyuarat selama lebih dua jam bermula pada pukul 8 malam tadi turut dihadiri Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan pemimpin -pemimpin utama parti itu.
Mengulas lanjut, Alexander Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan persiapan bagi mengahadapi PRN Ke-12 yang akan diadakan pada waktu terdekat.
” Perbincangan meliputi kerjasama dengan komponen – komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi melahirkan sebuah pasukan yang ampuh bagi meneruskan kesinambungan GPS,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, PBB seperti kebiasaan akan bertanding di 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan turut akan menampilkan muka – muka baharu untuk membawa cabaran parti itu.
” Saya tidak boleh cakap berapa ramai (calon baharu), mungkin 10 peratus, 20 peratus atau 30 peratus, tunggu sahaja,” katanya. -TVS.