PADAWAN, 19 Nov : Polis merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM14,500 selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita di Batu Kawah New Township petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, menerusi pemeriksaan oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu kira -kira pukul 1.50 petang semalam, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki berbangsa Cina dan seorang wanita Melayu itu berada di tempat letak kenderaan kawasan berkenaan.
” Semasa pemeriksaan, salah seorang suspek menyerahkan beg kecil yang di dalamnya terdapat 13 paket lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal dan tujuh balutan sellotape berwarna putih mengandungi dadah jenis syabu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini,
Beliau memberitahu, pemeriksaan ke atas kereta Perodua Kancil yang digunakan oleh kumpulan itu pula mendapati nombor chasis enjin telah diganggu dan disyaki kenderaan curi.
” Ujian saringan air kencing terhadap empat suspek lelaki mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine manakala suspek perempuan negatif,” katanya.
Katanya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 32 tahun itu kini direman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS