Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Gedong ‘meletup’ jika Abang Johari bertanding – Abdul Karim

KUCHING, 19 Nov : Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dan sekitarnya akan ‘meletup’ sekiranya Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memilih untuk bertanding di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak ini.

Menyuarakan pandangan berkenaan, Naib Presiden, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) , Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, letupan yang dimaksudkan ialah kawasan berkenaan bakal menikmati pembangunan yang pesat sekaligus memanfaatkan rakyat.

Ujarnya, sekiranya Abang Johari yang juga Presiden PBB menjadi wakil rakyat di Gedong, limpahan pembangunan dijangka akan turut ‘melanda’ kawasan berhampiran kerana pembangunan yang bakal berlaku bersifat lebih menyeluruh termasuk pembinaan jalan raya.

“Kalau beliau (Abang Johari) pergi ke tempat lain, ia akan membangun, jadi mana sahaja tempat yang Ketua Menteri bersetuju (untuk bertanding) akan beruntung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan progam Hidden Gems in Borneo di sini hari ini.

Sebelum ini, Abang Johari mengakui beliau ada menerima ‘tawaran’ untuk bertanding di beberapa kawasan DUN baharu pada PRN Ke-12 Sarawak termasuk Gedong.

Bagaimanapun, Abang Johari yang juga penyandang kerusi DUN Satok selama sembilan penggal berturut-turut mengatakan beliau memerlukan masa sebelum membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia merupakan keputusan yang tidak boleh dipersoalkan kerana berdasarkan sejarah perjuangan PBB, mereka bermula di luar bandar dengan memperjuangkan pembangunan masyarakat Bumiputera.

“Sekiranya Yang Amat Berhormat berpindah ke Gedong, ini satu keputusan yang cukup bijak,” katanya.

Berhubung ‘nasib’ dirinya dalam PRN akan datang, Abdul Karim berkata, sekiranya diberi pilihan, beliau mahu mempertahankan DUN Asajaya yang sudah sebati dengan dirinya.

“Saya telah memulakan kerjaya politik di situ sejak lebih 20 tahun lalu dan tidak perlulah untuk pindah, saya rasa ingin kekal (bertanding) di Asajaya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan