SONG, 18 Nov : Bunyi tangisan kuat seorang bayi lelaki yang ‘ditingggalkan’ di kawasan semak berhampiran belakang sebuah rumah di Jalan Mission di sini berjaya menyelamatkan nyawanya daripada ancaman haiwan berbisa.
Dalam kejadian kira – kira pukul 9 pagi tadi, seorang wanita yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan terdengar bunyi tangisan bayi sebelum memaklumkan kepada abangnya.
Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan (DSP) Rowney Jalak berkata, pasangan adik beradik berkenaan kemudian memeriksa kawasan sekitar dan terkejut apabila menjumpai bayi berkenaan yang ditinggalkan di atas rumput dan daun kering tanpa pakaian.
” Semasa dijumpai , bayi tersebut dipercayai baharu sahaja dilahirkan berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih berdarah,” katanya menerusi kenyataan media
Rowney memberitahu, bayi berkenaan yang cukup sifat telah dihantar ke Klinik Kesihatan Song untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Polis juga telah memaklumkan kepada pejabat Kebajikan Daerah Kapit mengenai kejadian ini,”katanya.
Ujarnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.
” Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil untuk membantu siasatan atau menghubungi Balai Polis Song di talian 084 -777222. – TVS