KUCHING, 18 Nov : Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang berada di peringkat perbincangan untuk membeli ubat antiviral bagi merawat pesakit COVID-19 di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagaimanapun ketika ini kerajaan negeri menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memutuskan ubat yang sesuai digunakan dalam mencegah virus berkenaan.
Pada masa sama ujarnya, kerajaan negeri juga perlu mendapat kebenaran daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum pembelian dilakukan.
” Dahulu saya pernah cakap kita bergantung kepada program vaksinasi untuk lawan virus dan mungkin akan wujud pula pil bagi merawat pesakit. Sekarang telah wujud pil antiviral di pasaran untuk mencecah penyakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bertemu wakil media di Borneo Convenction Centre di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia tidak akan bergantung kepada satu syarikat sahaja untuk memperoleh bekalan ubat antiviral bagi merawat pesakit COVID -19 dan kerajaan sedia mempertimbangkan pelbagai pilihan namun tertakluk kepada keberkesanan dan keselamatan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata , Sarawak mampu membeli ubat antiviral berkenaan namun turut bergantung kepada bekalan di pasaran.
” Sebelum ini saya diberitahu doktor bahawa ubat antiviral yang dibangunkan itu sangat efektifnya,”katanya. -TVS