Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak kini miliki makmal pengklonan pokok Paulownia, pacu industri perkayuan – Abang Johari

KUCHING, 18 Nov : Kerajaan menyokong penuh inisiatif pihak swasta yang memberi suntikan baharu termasuk memajukan makmal pengklonan pokok dalam usaha memacu pertumbuhan sektor perkayuan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini selari dengan salah satu teras Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.

Pada masa sama ujarnya, Sarawak juga akan terus mempergiatkan usaha untuk mengekalkan kemampanan sumber perhutanan dan biodiversiti yang dimilikinya.

“Pada hari ini komitmen berkenaan terus diperkukuhkan menerusi penanaman pokok Paulownia di negeri ini yang mampu menjadi nafas baharu dalam memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak semaian pokok Paulownia milik TSG Green Sdn. Bhd. di Kota Samarahan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar , Datu Len Talif Salleh dan Pengarah Hutan Sarawak , Datu Hamden Mohammad dan Ketua Eksekutif TSG Green Sdn. Bhd, Dato Chris Chung.

Syarikat berkenaan membangunakan Makmal Kultur Tisu RT Paulownia pertama di Sarawak bagi menghasilkan klon benih pokok itu untuk dijual dan dibekalkan ke seluruh negeri.

Ketua Menteri berkata, beliau yakin penanaman pokok berkenaan bakal memacu perkembangan industri berasaskan kayu kayan di negeri ini.

” Di negara Scandinavian seperti Finland dan Norway, mereka menanam pokok Pine yang menjadi sumber pembekal utama kepada industri kayu dan di Sarawak, saya juga mempunyai dasar yang sama,” katanya.

Menurut Abang Johari, beliau yakin dengan potensi yang dimiliki memandangkan pokok itu boleh mencapai tempoh kematangan dalam tempoh yang singkat.

“Pokok ini boleh ditanam kerana sesuai dengan keadaan tanah di negeri ini. Kedua, ianya boleh mengawal dan menyerap pelepasan karbon dioksida kerana sazi daunnya yang lebar dan pelbagai produk yang boleh dihasilkan seperti perabot,”tambahnya.

Katanya, langkah berkenaan juga akan menjamin kelangsungan bekalan bahan mentah untuk pembinaan di Sarawak dan sekiranya dijual dengan harga yang murah, ia dapat digunakan untuk membina rumah mampu milik.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak kini mendahului Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah program Penghijauan Malaysia dengan sejumlah 6,791,146 pokok telah ditanam sejak dilancarkan awal tahun ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan