KUCHING, 18 Nov : Bandar raya Kuching kini secara rasminya bergelar ahli baharu Kota Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Gastronomi.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, status berkenaan sangat bermakna memandangkan bandar raya ini merupakan yang pertama di Malaysia diterima ke dalam senarai Jaringan Bandar Kreatif UNESCO (UCCN).
Ujar Abdul Karim, kerajaan negeri menerima surat rasmi dua hari lepas dan sangat gembira kerana telah bekerja keras untuk mencapai matlamat berkenaan.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata, pengiktirafan berkenaan dijangka akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosio ekonomi tempatan.
” Ia juga akan membawa imej positif kepada Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, ujar Abdul Karim Sarawak menyatakan komitmen untuk ‘menjaga’ status berkenaan termasuk menganjurkan pelbagai program dan inisiatif yang dirancang sebelum ini.
” Menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja sebelum ini, ia dijangka akan memacu pelaksanaan pelbagai aktiviti serta menjayakan agenda 2030 sebagai nadi pembangunan masa hadapan,” katanya. -TVS