KUCHING, 18 Nov : Tiada istilah bekerja pada saat akhir dalam kamus hidup Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sebagai wakil rakyat.
Sejak dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai pada 2001, Dr. Abdul Rahman sentiasa mencari masa untuk mendekati rakyat di kawasannya.
Akui beliau, tanggungjawab sebagai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) negeri membuatkan jadual kerjanya semakin padat namun matlamat untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak pernah dilupakan.
“Perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat mestilah secara berterusan dan tidak hanya menunggu semasa musim pilihan raya sahaja,” katanya di sini baru – baru ini.
Latar belakangnya sebagai doktor sebelum menyertai politik pada 1994 juga memberi kelebihan kepada Dr. Abdul Rahman untuk mendekati masyarakat dan berkongsi tips amalan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, berhubung ‘tugasnya’ di Pantai Damai pula, Dr. Abdul Rahman berkata, setakat ini beliau mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan penduduk di sana dan sejak kelonggaran peraturan Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan, aktiviti hujung minggu biasanya ‘dipenuhi’ dengan program bersama rakyat.

Sementara itu, ketika ditanya persiapan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman berkata, mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.
” Jentera kita (PBB) sudah lama bersedia . Sebenarnya selepas tamat PRN 2016, kita telah bekerja seperti biasa,” jelasnya.
Pada PRN Ke-11 lalu, Dr. Abdul Rahman menang kerusi berkenaan dengan majoriti besar iaitu 9,260 undi apabila mendapat 10,918 undi berbanding lawannya , Zainal Abidin Yet dari PAS yang menerima undian sebanyak 1,658. -TVS