Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dilabel parti ‘pilihan’, GPS tidak mendabik dada hadapi PRN Sarawak – Abang Johari

KUCHING, 18 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mengambil mudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak di sebalik jangkaan mereka mampu untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana semua parti yang bertanding kali ini berdepan cabaran baharu yang tidak pernah diharungi sebelum ini terutamanya ketika berkempen.

Mengambil contoh dirinya, Abang Johari yang sudah sembilan kali bertanding dalam PRN berkata, beliau mengambil serius setiap ‘edisi pilihan raya’ dan tidak mendabik dada serta terlebih yakin untuk menang.

“Kalau saya bertanding PRN ini, ia merupakan penglibatan kali kesepuluh tetapi jangan sesekali ambil mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bertemu wakil media di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abang Johari yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, beliau sentiasa menerapkan konsep bekerja keras di kalangan ahli-ahli parti komponen GPS.

“Kita mesti bersedia kerana di pihak kami (GPS) sejak dulu lagi telah bekerja kuat,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, GPS akan meneruskan langkah memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menjadi calon dalam PRN Ke-12 Sarawak ini.

“Saya akui kita akan perkenal dua hingga tiga orang pemimpin GPS berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun sebagai calon kali ini,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari turut menitipkan pesanan kepada pemimpin-pemimpin muda dalam parti politik supaya berusaha untuk menampilkan karakter yang dapat diterima oleh keseluruhan segmen masyarakat.

“Orang muda sedikit beremosi dan kalau terbawa-bawa emosi itu, akhirnya dia (pemimpin muda) boleh jatuh, saya perhatikan pengalaman rakan-rakan,” katanya.

Meneruskan ‘nasihat’, Abang Johari memberi analogi, dunia politik dan kepimpinan mempunyai persamaan dengan mengemudi bot laju namun perlu dikendalikan secara berhati-hati.

“Kena bawa steady saja, akan selamat, kalau laju sangat akan langgar kayu dan terpelanting,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan