SAMARAHAN, 17 Nov : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan, beliau sebenarnya menerima ‘pelawaan’ untuk bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.
Menurut Abang Johari, selain kerusi DUN Gedong yang ditawarkan secara terbuka oleh penyandangnya, Datuk Naroden Majais hari ini, beliau juga sedang menimbangkan beberapa kerusi lain yang ditawarkan.
Bagaimanapun, ujar Ketua Menteri, keutamaannya tetap kepada kerusi DUN Satok yang disandangnya sejak 1981.
” Saya kena tanya orang Satok terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Jalan Lubok Terenggas ke Gedong di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana , Datuk Naroden Majais.
Terdahulu ketika berucap, Naroden yang juga penyandang kerusi Gedong sejak 1991 secara terbuka meminta Abang Johari supaya mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan dalam PRN Ke-12 Sarawak yang dijangka akan berlangsung bulan depan.
Abang Johari berkata, sekiranya beliau mahu ‘berpindah’, penjelasan terperinci perlu diberikan kepada rakyat di Satok.
Asas kepada jemputan itu ujar Naroden, beliau mahu memastikan kesinambungan pembangunan yang lebih cepat di kawasan tersebut dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Sementara itu, Abang Johari berkata, sebagai menghormati pelawaan Naroden, beliau akan menimbangkan tawaran itu dan akan membuat pengumuman mengenainya.
“Beliau (Naroden) beritahu awal yang tidak mahu bertanding. Saya juga melihat kawasan lain,” katanya.
Bagaimanapun, Abang Johari mengakui perlawanan berkenaan membuatkan dirinya berada dalam dilema.
” Diterima susah, ditolak susah juga. Saya akan sembahyang hajat, jika ada jodoh, bertemulah. Terima kasih Naroden dan Nancy (Datuk Seri Nancy Shukri),”katanya. -TVS