KUALA LUMPUR 16 Nov : Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan , Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini bersetuju melaksanakan pendaftaran nama dalam senarai menunggu secara jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan di seluruh negara bermula 22 November depan.
CITF-B dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendaftaran secara jumpa terus akan dilaksana bagi individu yang layak menerima dos penggalak, individu yang ingin mendapatkan suntikan lebih awal sebelum janji temu, individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19, mereka yang terlepas janji temu vaksin dan remaja berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi.
“Bagaimanapun, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan, keselamatan dan pertahanan; individu berusia 40 tahun ke atas; individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi; penghuni dan petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang, ibu mengandung dan mereka yang perlu ke luar negara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut CITF-B percaya pendekatan tersebut akan memudah dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.
Katanya mereka yang berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit jika ada pembatalan janji temu atau tidak hadir oleh mereka yang telah menerima janji temu dalam aplikasi MySejahtera.
Menurut CITF-B, pendekatan itu akan membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.
Selain pendaftaran secara jumpa terus di PPV fasiliti kesihatan swasta, ia boleh dilakukan melalui telefon dan e-mel.
Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan jumpa terus atau telefon atau e-mel untuk daftar janji temu melalui www. protecthealth.com.my bermula 22 Nov depan.
Setakat ini, lebih sejuta dos penggalak telah diberikan kepada mereka yang layak di seluruh negara.
— BERNAMA