KUCHING, 17 Nov: Ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong meminta individu yang berdepan gangguan seksual supaya tidak terus berdiam diri sebaliknya bangkit ‘melawan’ kezaliman berkenaan.
Pandelela, pemenang dua pingat Sukan Olimpik berkata, dia memahami kebanyakan mangsa perbuatan tidak bermoral itu berada dalam dilema untuk bersuara atas pelbagai faktor.
Ujar beliau, kejadian hitam berkenaan sebenarnya turut memberi pengajaran kepada dirinya supaya bersikap lebih berani untuk mempertahankan diri daripada terus diganggu secara seksual.
“Ya, saya pernah diganggu dengan perbuatan tidak bermoral itu. Tapi saya tidak bersuara. Jika dahulu saya menyuarakan insiden ini mungkin pekara ini tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika temubual bersama TVS di sini hari ini.
Pada 25 Oktober lalu, Pandalela membuat pendedahan mengejutkan menerusi Twitter mendakwa dirinya menjadi mangsa gurauan lucah oleh bekas jurulatihnya selama beberapa tahun.
Lebih mencetuskan kemarahan, perbuatan jurulatih berkenaan seolah-olah ‘dilindungi’ oleh Ketua Jurulatih sekaligus menyebabkan mangsa -mangsa lain tidak berani bersuara.
Ekoran pendedahan itu, Pandalela yang turut bertanding buat kali ketiga dalam pentas Olimpik tahun ini menerima pelbagai reaksi namun majoriti menghulurkan sokongan termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurut Pandalela, isu gangguan seksual harus dibendung dan setelah menyedari dirinya mempunyai ‘pengaruh’ untuk membangkitkan perkara itu, dia mengambil langkah mendedahkan perbuatan berkenaan supaya dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang isu ini.
“Tujuan saya buka mulut bukan kerana mahu mengaibkan sesiapa tetapi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa perkara ini seperti itu boleh berlaku di mana – mana sahaja dalam pelbagai industri termasuik sukan,” katanya.
Katanya, jika terus mengunci mulut, si pelaku akan lebih berani dan akan mengulangi perbuatan berkenaan serta lebih ramai yang akan menjadi mangsa. -TVS