SARIKEI, 16 Nov : Isteri kepada Ketua Kampung Jerijeh Baru, Belawai maut setelah kereta yang dipandu suaminya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tanjung Manis , Belawai di Sarikei petang semalam.
Dalam kejadian kira – kira pukul 7 petang itu, mangsa, Latifah Rajaee , 54 , disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Belawai.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan maut itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Isuzu Dmax dan Proton Persona.
“Kereta yang dinaiki mangsa yang maut itu datang dari arah Tanjung Manis ke Belawai yang turut menyebabkan suami mangsa dan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS