Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Gagal pastikan keselamatan hingga pekerja maut, Syarikat konsortium pertanian didenda RM 40,000

ByBernama

KLANG, 16 Nov : Syarikat konsortium pertanian Sinergi Perdana Sdn Bhd didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik, dua tahun lepas.

Hakim Razali Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat tersebut sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas syarikat itu yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporat Siti Fairuz Kamis, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Sinergi Perdana sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik ‘granulator chute’ sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin, 41.

Syarikat itu melakukan kesalahan tersebut di bahagian pengeluaran dalam kilang, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini pada 4.50 petang 19 Feb 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang bekerja berseorangan telah membuat kerja baik pulih ‘granulator chute’ telah terkena renjatan elektrik.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Terdahulu, semasa memohon hukuman yang ringan, Siti Fairuz berkata kemalangan tersebut berlaku ketika syarikat itu baru beroperasi selama setahun dan ia merupakan kesalahan pertama.

“Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan,” katanya.

 Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor Jamaludin Harun dan Mohd Nizam Teh Kammaruddin berkata akibat kecuaian tersebut, syarikat itu kehilangan pekerja berkemahiran. 

“Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana,” katanya.

— BERNAMA 

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan