Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRN Melaka ‘panas’, Tanjung Bidara jadi tumpuan

ByFirdaus Ismail

Grafik oleh Norsyazwani Syahirah Azmi

SERING kita mendengar ungkapan politik itu seni serba mungkin, tiada kawan dan lawan yang kekal.

Inilah yang sedang berlaku dan mewarnai cerita Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka ke-10 yang pernah menjadi ‘orang kuat’ UMNO di Negeri Hang Tuah, Datuk Seri Idris Haron antara yang membuktikan penyataan berkenaan. (Banyak lagi sebenarnya)

Mula ‘bertatih’ dalam dunia politik dengan menyertai UMNO pada 1993, Idris tidak mengambil masa lama untuk meletakkan dirinya sebagai antara pemimpin masa depan parti itu.

Masa berlalu, bekas Ahli Parlimen Tangga Batu itu kini menjadi ‘kuda perang’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam blok Pakatan Harapan untuk menggagalkan hasrat UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) menawan Melaka dalam PRN kali ini.

Idris diberi ‘tanggungjawab’ untuk merampas kerusi DUN Asahan dalam pertandingan enam penjuru. Meriah!.

Bertambah menarik ialah ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, BN menang kerusi berkenaan dengan majoriti ‘paras hidung’ sahaja iaitu 275 undi daripada keseluruhan 15,745 pemilih berdaftar.

Walaupun BN mempunyai tradisi menang di Asahan, perubahan landskap politik negara sejak lebih 13 tahun lalu membuatkan parti – parti politik yakin sesiapa sahaja boleh menang jika kena caranya.

Perikatan Nasional (PN) turut memeriahkan saingan enam penjuru di Asahan dengan menampilkan wakilnya B. Danesh dari Parti Gerakan.

Tidak lengkap berborak mengenai PRN Melaka tanpa menyentuh pertarungan membabitkan ‘bekas anak murid menentang Tok Guru’ iaitu di kerusi Tanjung Bidara.

Plotnya sama , masih berkisah kepada ungkapan politik seni serba mungkin cuma kali ini watak utamanya ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini di blok Perikatan Nasional (PN) menerusi partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mas Ermieyati yang ketika ini penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah akan menentang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketika BN Melaka lemas dibadai tsunami politik 2018, kerusi ini kekal menjadi kubu apabila wakilnya Datuk Md Rawi Mahmud berjaya menang dengan majoriti 2,854 undi.
PH turut mengintai peluang apabila meletak calonnya Zainal Hassan di situ.

Mengulas pertarungan Mas Ermieyati menentang Ab Rauf, tentunya Tanjung Bidara menjadi kerusi panas, penganalis politik berpendapat, PN walaupun menurunkan calon yang dikenali namun hakikat sebenar PRN Melaka ialah pertarungan BN vs PH.

Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, walaupun Mas Ermieyati dikenali kerana pernah menjadi Timbalan Menteri sejak zaman BN, kemudian PN dan kini masih mempunyai pejabat di Putrajaya di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun itu bukan jaminan untuk bekas peguam ini menang mudah.

” Bukanlah mahu mengatakan Mas Ermieyatie akan kalah tapi melihat kepada kerangka yang lebih besar, wakil – wakil yang ditampilkan oleh BN dan PH kali ini mempunyai potensi untuk mencuri undi yang tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai Ab Rauf yang dikatakan ‘kurang popular’, Dr Rusdi mempunyai pandangan berbeza.

“Sebagai orang lama, beliau sangat memahami sepak terajang dunia politik di situ dan atas sebab itu berani membuat keputusan untuk turun bertanding di Tanjung Bidara,”jelasnya.

Mengimbas pengalaman penulis ‘bekerja’ dengan dua figura politik ini, ada beberapa kejadian yang masih segar dalam ingatan

Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi Presiden UMNO lebih kurang 13 tahun lalu, penulis antara yang terlibat berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk meliput perhimpunan parti politik paling berkuasa ketika itu.

Setiap kali Najib selesai menyampaikan ucapan amanat Presiden atau hadir mengikuti perhimpunan, sudah pasti berbondong -bondong pertugas media menunggu di luar Dewan Merdeka , mencuba nasib untuk ‘jolok’ Najib bagi mendapatkan pandangannya.

(Jolok merupakan istilah di kalangan media untuk melakukan temubual secara langsung tanpa membuat janji temu).

Ab Rauf yang bertubuh badan besar dan tinggi lampai akan bertindak seolah – olah ‘pengawal peribadi’ Najib , mendepakan tangan membuat hadangan bagi memastikan Tuan Presiden tidak didekati oleh petugas media. Beliau memberikan mesej, jangan dekat!.

Kelakar bila mengenangkan semula kejadian itu kerana biasanya kami (petugas media) akan menyumpah sesama sendiri. Kacau orang buat kerja!

Sewaktu bertugas di Pulau Pinang pula, Mas Ermieyati yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pelancongan, kerap juga turun ke Pulau Mutiara yang merupakan antara lokasi percutian popular di negara ini.

Penulis juga mempunyai momen ‘berasa geram’ dengan susuk ini ketika ditugaskan membuat liputan program yang dirasmikan olehnya. Ceritanya, beliau lewat hampir dua jam, bukan satu tapi dua kali.

Penulis memahami kesibukan Ahli Politik yang bergelar Menteri atau Timbalan Menteri namun perlulah mempunyai pasukan komunikasi yang cemerlang menguruskan aspek ini, bukan hanya beliau, malah ramai Menteri atau Timbalan Menteri juga seolah -olah terlepas pandang aspek ini.

Begitupun, penulis tetap tumpang bangga di atas kejayaannya sebagai peguam yang kemudian mendaki tangga untuk menjadi ahli politik yang boleh dikatakan agak berjaya. Oh ya, kami juga satu pasukan apabila membabitkan sokongan terhadap pasukan bola sepak Liverpool. We are team red!.

Apa sahaja keputusan di Tanjung Bidara, penulis seperti rakyat dan pengundi lain hanya mengharapkan wakil yang dipilih dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang bagi memastikan nasib rakyat terbela.

Rakyat sudah terlampau muak dengan permainan politik berlebihan, lompat sana sini dan perkara – perkara seumpamanya sehingga tercetusnya tanda pagar Boikot PRN Melaka di media sosial.

Selamat Maju Jaya kepada semua calon di PRN Melaka. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan