KUCHING, Nov 15: Cubaan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah untuk meloloskan diri daripada ditahan polis berakhir dengan tragedi apabila ditemukan lemas di Sungai Tebuan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pukul 10.37 pagi tadi.
“Ketika anggota polis menjalankan Ops Tapis di kawasan berkenaan, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis bertindak melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Menerusi satu video, kelihatan beberapa lelaki cuba memberi bantuan penafasan ke atas mangsa yang diletakkan dalam sampan namun percubaan berkenaan tidak berjaya.
Katanya, rakan suspek berjaya ditahan dalam operasi berkenaan yang dijalankan untuk membanteras penyalahgunaan dadah.
” Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat,” katanya. -TVS