Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Abdul Karim ‘jemput’ pencabar PKR bertanding di Asajaya

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 15 Nov: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan bakal Ketua Menteri seperti yang dicanang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.

Abdul Karim yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, beliau ‘mendapat maklumat’ terdapat tiga lagi ahli PKR juga sedang melobi untuk mencuba nasib di kerusi berkenaan.

“ Saya juga kurang pasti kenapa Asajaya begitu penting kepada PKR tetapi saya mengalu-alukan minat luar biasa yang ditunjukkan oleh wakil-wakil mereka yang mahu bertanding di situ, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sarawak 360 Experience: Stories From The Heart di Old Court House, Kuching di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan bahawa PKR akan meletakkan calonnya bertanding di kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat PPB.

Secara berseleroh, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau gembira sekiranya pertarungan merebut kerusi DUN itu menjadi seolah-olah satu festival.

“Lebih ramai, lebih meriah dan itu yang saya suka,” katanya.

Abdul Karim telah memenangi kerusi DUN Asajaya selama empat penggal berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula pada 2001 sehingga 2016 dengan kemenangan besar.

Pada PRN Ke-11 Sarawak lalu, beliau mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,078 sekaligus menewaskan cabaran wakil PRK , Abang Junaidi Abang Gom.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim turut menyokong sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat keputusan untuk meletakkan muka baharu bertanding di Asajaya.

Ini kerana menurutnya, sudah menjadi kebiasaan bagi PBB untuk menampilkan sebanyak 20 hingga 30 peratus calon baharu bagi menghadapi PRN.

“ Saya menjadi wakil rakyat di Asajaya sudah empat penggal iaitu sejak 20 tahun lepas. Sekiranya diberi peluang untuk bertanding lagi, saya dengan besar hati menerima tanggungjawab berkenaan namun jika sebaliknya, saya akan menyokong penuh sesiapa sahaja yang dicalonkan,” katanya. -TVS

Tags: Asajaya

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan