KUCHING, 12 Nov: Dalam usaha kerajaan negeri Sarawak meningkatkan pengeluaran lembu daging, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) kini menggabungkan penanaman kelapa sawit dengan penternakan lembu melalui Projek Pawah Lembu.
Menurut Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek tersebut kini giat dibangunkan memandangkan Sarawak memiliki keluasan tanah untuk penanaman kelapa sawit iaitu sebanyak 1.6 juta hektar yang turut boleh dimanfaatkan dengan menggabungkan penternakan lembu dan penanaman kelapa sawit.
“Dengan kerjasama Jabatan Veterinar, kira-kira 3,000 ekor lembu telah diagihkan di beberapa ladang di seluruh negeri.
“Menerusi program ini, peserta akan diberikan lembu untuk dibiak di ladang sawit dan sekiranya terdapat hasil pembiakan, peserta hendaklah “membayar” semula dalam bentuk seekor lembu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata demikian dalam sidang media sebelum menyerahkan geran daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) Jabatan Ketua Menteri Sarawak kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di sini hari ini.
Sarawak, katanya juga telah mengimport 600 daging lembu dari Australia dan akan diagihkan kepada Salcra untuk tujuan itu.
“Antara manfaat program seumpama ini adalah mengurangkan kos penyelenggaraan di samping dapat menjana pendapatan untuk Salcra selain hasil kelapa sawit.
“Sarawak hanya mempunyai 12 peratus tahap sara diri bagi pengeluaran daging dengan lebih 80 peratus adalah daging lembu dan kambing import,”jelasnya.
Tambah beliau, lembu yang diternak di ladang tersebut akan meragut rumput manakala sisa buangan akan menjadi baja organik untuk kelapa sawit di situ.