SIBU, 12 November: Penemuan mayat seorang lelaki warga emas dengan mulut berlumuran darah di kaki lima sebuah bank di sini telah mencetuskan panik orang ramai di sini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat, sebelum itu,saksi kejadian melihat si mati muntah darah dalam keadaan lesu.
Katanya lagi, si mati yang dikenalpasti sebagai Awang Check Awang Bujang, 67, dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental serta kanser paru-paru.
“Pihak Balai Polis Sentral Sibu telah menerima panggilan dari orang awam pada jam 6.45 petang 11 November memaklumkan kejadian tersebut di Jalan Tuanku Osman.
“Polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati adanya mayat seperti yang dilaporkan.
“Pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada kesan kecederaan tetapi ada darah keluar melalui mulutnya,” kata Collin.
Tambah Collin, mayat kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – TVS