SIBU, 10 Nov : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman di bawah pentadbiran beliau adalah kerana ingin memastikan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh amanah untuk manfaat rakyat.
Menurutnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk pentadbiran, perkara itu merupakan antara polisi awal yang dilaksanakan oleh beliau bagi memastikan integriti menjadi budaya dan amalan dalam perkhidmatan awam di negeri ini.
Abang Johari turut menekankan bahawa kerajaan negeri amat memandang serius perkara yang berkaitan dengan pelanggaran integriti kerana ia membawa implikasi buruk kepada masyarakat.
” Oleh itu saya ingin mengingatkan pemimpin masyarakat Islam termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau di Sarawak supaya melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan penuh amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Sarawak 2021 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, dalam soal pengurusan masjid dan surau, integriti turut menjadi perkara mustahak bagi memastikan tata kelola yang baik dan memanfaatkan masyarakat.
Sementara itu mengulas mengenai seminar berkenaan, Abang Johari berkata, ia akan dapat memberi nilai tambah kepada masyarakat untuk memupuk kepimpinan yang amanah.
Dalam pada itu, Talib berkata, setakat ini tiga masjid di Sibu telah menerima penarafan lima bintang menerusi Program Standard Penarafan Bintang Masjid Negeri Sarawak.
” Masjid berkenaan ialah Masjid Al Muhajirin di Kampung Salim, Masjid Darul Amilin di Taman Permai dan Masjid An Nur,” katanya. -tvs