Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kanan) ketika majlis Pelaksanaan Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Ibu Sawat Telekom Malaysia (TM) Jalan Kuantan, Titiwangsa hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kos khidmat 5G tidak akan membebankan rakyat – Annuar Musa

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Pengguna dijangka tidak perlu membayar kos yang tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan 5G kerana kerajaan telah mengambil kira soal itu sebelum melaksanakannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata melalui Digital Nasional Berhad (DNB), yang merupakan agensi pelaksana perkhidmatan itu, kerajaan telah menetapkan agar kos kemudahan terbabit berkesan supaya tidak membebankan pengguna.

“Disebabkan itu, kita telah berusaha mencari modul perkhidmatan yang menjimatkan kos dengan model 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration kendalian DNB.

“Ini kerana jika setiap syarikat telekomunikasi membuat infrastruktur sendiri, ia akan mengakibatkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan ini menjadi less efficient (harga tidak mampu milik) bagi pengguna.

“Justeru, dengan model MOCN yang dikendalikan DNB itu, perkhidmatan 5G tidak menggunakan konsep ‘different operators, different infrastructures’, sebaliknya menekankan tentang ‘one single owner’ supaya perkhidmatan diberi dengan lebih efisien dan dapat mengurangkan kos harga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi 5G MOCN Integration oleh DNB di Telekom Malaysia Titiwangsa di sini, hari ini.

Annuar menambah, dengan model MOCN itu juga, kerajaan berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai satu daripada negara-negara peneraju bagi perkhidmatan rangkaian 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ini penting kepada kerajaan kerana sebahagian daripada perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bergantung kepada keupayaan kita untuk menyediakan 5G.

“Malah, dalam menyediakan kemudahan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memainkan peranan sebagai badan pengawal selia supaya tiada pihak perlu risau akan isu ketelusan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, seperti mana terkandung dalam pelan tindakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), DNB diberikan tempoh hingga akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G ke kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

”Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini pula, kita jangka untuk menjangkau kira-kira 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara. Ini satu agenda nasional yang sangat penting kerana akan menjadi game changer (pencetus perubahan) kepada aktiviti ekonomi di seluruh negara,” katanya. – Bernama

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan