KUCHING, 10 Nov : Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah menafikan hantaran di sebuah laman Facebook yang mendakwa beliau ada menyebut nama calon wanita yang akan digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.
Katanya, beliau hanya menyebut bahawa ada calon yang menarik diri atas faktor kesihatan.
“Saya tidak menyebut sebarang nama, hanya menerangkan mengenai calon yang menarik diri atas faktor kesihatan, itu sahaja ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fatimah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat berkata demikian sebagai mengulas hantaran Sri Aman Mansang Maju yang mendakwa beliau memberitahu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka akan menggugurkan beberapa penyandang kerusi yang dipegang oleh wakil rakyat wanita dan digantikan dengan calon baharu.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Fatimah berkata, beliau sangat yakin tidak mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa oleh halaman berkenaan.
” Saya ingat apa yang saya sebut kerana saya membuat rakaman percakapan,” katanya.
Mengulas mengenai senarai nama calon yang akan bertanding dalam PRN Ke-12 Sarawak kelak, Fatimah memberitahu, perkara itu akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
” Perkara itu merupakan hak prerogatif Ketua Menteri,” jelasnya.
Sementara itu, semakan TVS terhadap hantaran berkenaan hari ini mendapati ia telah dipadamkan oleh pengendali akaun itu. -TVS