KUCHING, 9 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan bermesyuarat minggu ini untuk menentukan tarikh – tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, beliau juga berpandangan, tarikh mengundi yang masih menjadi persoalan di kalangan parti – parti politik di negeri ini berkemungkinan akan jatuh pada 18 atau 19 Disember selepas mengambil kira beberapa faktor.
Menurutnya, ini adalah untuk memberi tempoh penghormatan kepada Mendiang Datuk Amar Dr James Jemut Masing , Timbalan Ketua Menteri yang meninggal dunia baru -baru ini.
“Saya kira SPR akan bersidang selepas tamat tempoh penghormatan yang diberikan kepada mendiang yang merupakan pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dihormati oleh rakyat. Saya kira dalam budaya Iban, paling kurang tempoh selama satu minggu,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Awang Azman berkata, mesyuarat berkenaan perlu diadakan segera memandangkan musim landas atau tengkujuh mula melanda beberapa tempat di Sarawak.
” Sementara itu, tempoh hari berkempen juga dijangka akan dikurangkan atas faktor cuaca dan cuti umum, berkemungkinan hanya 10 atau 12 hari berbanding 21 hari,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pertimbangan perkara – perkara yang disebut, beliau menjangkakan hari penamaan calon mungkin ditetapkan pada 6 Disember. -TVS