Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Peratusan keluar mengundi tinggi penting

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 Nov: Peratusan keluar mengundi yang tinggi sewaktu pilihan raya adalah penting dalam pembentukan sesebuah kerajaan.

Naib Presiden, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekiranya ramai rakyat yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, ia memberi petanda bahawa kerajaan yang dipilih itu mendapat mandat kukuh daripada rakyat.

Sehubungan itu, ujar Abdul Karim, beliau berharap bilangan pengundi yang keluar menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang akan melebihi 70 peratus.

“ Bagi membentuk kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, jumlah pengundi yang keluar mengundi perlu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang berkemungkinan tidak akan membenarkan kempen secara bersemuka , Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan berkata, perkara itu dijangka tidak akan menjejaskan usaha kempen yang telah dilakukan lebih awal.

” SOP yang ditetapkan hanya untuk memastikan keselamatan pengundi dan bukannya bermaksud pengundi tidak mengetahui calon yang akan bertanding atau parti mana yang akan bertanding,” katanya.

Untuk rekod, Abdul Karim telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya selama empat penggal sejak 2001.

Pada PRN ke -11 lalu, seramai 76.30 peratus daripada 10,967 pemilih di DUN berkenaan telah keluar mengundi.

Abdul Karim mempertahankan kerusi itu dengan majoriti sebanyak 4,078 menewaskan calon PKR, Abang Junaidi Abang Gom. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan